|
|
Feb 15, 2006
Edisi KL: Spa pesta seks gay
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my KUALA LUMPUR: Lelaki gay dikesan licik menyembunyikan aktiviti mereka dengan menjadikan rumah urut dan pusat spa mewah sebagai lokasi untuk mengadakan pesta seks beramai-ramai.
Mereka membabitkan semua bangsa itu beralih angin melakukan kegiatan terbabit di pusat spa dan rumah urut berikutan lebih selesa berbanding pusat hiburan seperti disko.
Malah, pusat spa dan rumah urut tertentu menawarkan khidmat seks kepada ‘kaum’ terbabit dengan mengenakan bayaran tertentu.
Ada juga yang tidak segan silu melakukan hubungan seks jijik itu dengan berbogel beramai-ramai sama ada di bilik urut atau di bilik mandi bersama pekerja pusat spa atau rumah urut.
Kegiatan sumbang berkenaan yang kerap didedahkan media akhirnya mendapat reaksi positif dari polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang segera membuat risikan dan serbuan, baru-baru ini.
Dalam serbuan pertama jam 6 petang Jumaat lalu, sepasukan anggota polis Dang Wangi membuat serbuan di sebuah rumah urut di Jalan Utara Off Jalan Imbi yang dikesan menjadi tumpuan pasangan gay.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal, berkata dalam serbuan terbabit, tujuh lelaki yang juga pekerja rumah urut terbabit diberkas bersama seorang pelanggan.
Menurutnya, dua lelaki ditahan itu ditemui berdua-duaan di sebuah bilik ketika hendak memulakan aksi tidak bermoral mereka.
“Pemeriksaan juga menemui tiga bungkusan kondom, satu botol Listerine dan satu tiub ‘Top Gel Play’ dari beg pekerja lelaki rumah urut terbabit.
“Siasatan mendapati, lesen perniagaan premis terbabit sudah tamat pada 31 Disember lalu,” katanya yang percaya, semua pekerja terbabit yang berusia sekitar 20 hingga 30-an menawarkan khidmat seks kepada golongan gay.
Beliau berkata, polis turut membuat serbuan kedua di sebuah rumah urut dan spa di Jalan Bukit Bintang pada jam 7.30 malam hari sama.
“Enam lelaki Melayu dan 12 Cina didapati sedang berbogel dan melakukan seks di beberapa bilik dan tempat mandi,” katanya.
Polis menemui banyak kondom terpakai di merata tempat dan premis itu menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Sementara itu, serbuan ketiga di sebuah rumah urut di Jalan Sultan Ismail membabitkan penangkapan sembilan lelaki dalam keadaan mengghairahkan.
|
|
|